CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, April 16, 2009

Sedulang Lontong Hati dan Sepotong Kek Senyuman

Gambar itu menceritakan seribu kisah kata atok labah-labah di suatu petang bila PSQ mula bercerita perihal manusia yang berwisata sambil mengabadikan memori pada lensa kamera mereka. Dek kerana kawan-kawan tuan PSQ yang suka merakam setiap peristiwa penting dalam kanvas hidup mereka maka alkisahnya banyak jugalah album-album tuan yang jadi mangsa cakaran kuku PSQ yang sedia ada panjang ini. Gambar makanan-makanan itu yang jadikan PSQ cemburu pada tuan. Gambar di majlis jamuan Upp yang lepas. Sebagai manusia yang punya akal alangkah beruntungnya tuan punya nikmat untuk merasai semua kelazatan itu. Kadangkala manusia mudah lupa diri, mudah alpa dan kufur atas nikmat yang Allah anugerahkan pada mereka. Bila dah hilang baru mencari dan terkapai-kapai meneliti kembali apa yang sudah tiada. Menangis dah tak berguna kata nenek tupai sewaktu PSQ bengkak-bengkak mata mengadu kehilangan friskies yang tuan simpan di hujung rak. PSQ nampak bayang-bayang kucing jantan bertompok-tompok hitam melintas, si gemuk hitam jiran sebelah rumah rupanya yang curi makan. Mungkin bukan rezki kita untuk miliki nikmat itu juga sebagai inzar agar tak kedekut dengan nikmat yang kita miliki, nikmat hidup itukan pada memberi, nenek tupai menokok tambah kata-kata mutiara dari SI.B.S untuk sedapkan hati PSQ yang sedang berduka tika itu.
Gambar yang jadi mangsa cakaran PSQ itu berwarna kekuningan cair macam warna bunga daisy gamaknya. Dengan menu tambahan yang ada di sebelahnya jadi pelengkap juadah. Juadah yang berwarna kekuningan seakan-akan bunga dedofil yang sedang marak kembangnya tu pula penuh dengan sayur mayur...mahu tumpah airliur PSQ menatapnya. Ketul-ketul putih seperti kiub air batu tu pabila ditengok dekat-dekat baru PSQ tahu gerangan apakah namanya juadah itu. Tuan memang pandai cari posisi menarik, untuk tatapan mata hati PSQ kata tuan. "Sedulang Lontong Hati" tuan beri nama ia, ada-ada sahaja tuan tu, makan didalam dulang membenih kasih kata tuan, itu juga amalan sunnah Rasul. Ya... sunnah yang jarang mahu orang mempraktikkannya bila pulang ke tanah air. Desas desus angin duka menatijahkan buku karangan ustaz tentang perkara ini.
Cerita tuan lagi, logikanya menamakan ia begitu kerana yang memasak sepenuh hati ikhlas. Bermula dari aktiviti membeli barang-barang masakan yang selalunya dipelopori oleh adik-adik ikhwah kerana kuantiti yang banyak menuntut kudrat mereka. Lantas atas dasar keprihatinan yang membuncah mereka meredah kehangatan mentari april yang masih dingin-dingin hembusannya untuk menjamah wajah Suq Thamin yang sedia menanti pelanggannya di pagi hari. Penuh tangan kiri dan kanan menjingjing barang-barang tersebut kembali semula ke Asrama Rumah Johor Rabaah. Kemudiannya peran bergilir ganti, sahabat-sahabat akhwat pula dengan aktiviti memasak bersama-sama, memotong bawang yang memang memedihkan mata serta bahan-bahan lainnya yang bukan sedikit, merebus segala jenis sayuran segar setelah dipotong mengikut saiz yang comel-comel, mudah dikunyah si pemakan nanti niatnya, memerah santan yang lemak berkrim juga menanak nasi lembik kemudian di tempek-tempek ataupun menjaga sukatan air yang ditanak dalamnya pekat-pekat comel beras yang diketip atau dililin palstiknya.
Semuanya khusus untuk mengenang jasa dan kerjasama anak buah yang banyak membantu pergerakan upp di bawah seliaan Adik Syafik dan Adik Umairah. Lontong hati itu digaul bersama sambal kacang pedas bersama ayam rebusan dari setulus nurani sayang atas ukhwah mereka yang sentiasa bersama di waktu susah atau senang. Menyemai percaya pada orang baru selaku anak buah seolah memberi ruang pada pucuk-pucuk baru bunga daisy yang mulai bertunas. Semaian tunas-tunas baru itu perlu untuk menggantikan bunga-bunga matang yang bakal melambai pergi. Selagi bunga berterusan menyebarkan debunganya, tunas baru tak perlu bimbang untuk berkembang.
Tak berkesudahan tuan jika bercerita darihal upp ini, katanya menyiapkan sebuah sukej banyak asam garam dan banyak juga pantang larangnya yang terpaksa mereka tempuh. Buat seluruh krew sukej terima kasih dari hati tulus tuan atas usaha dan kerjasama kalian. Tuan mahu mengucapkan ia waktu majlis hari itu. Adik syafik tak beri peluang untuk tuan berbicara sepatah dua, tapi tuan faham majlis jamuan itu bukan majlis yang perlu ucapan panjang, cukuplah kehadiran yang sudi meringankan beban memadai sejumlah kata-kata penghargaan. Selaku wakil furu Iskandariah tuan amat sangat menghargai semuanya. Walaupun adik-adik furu tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, janji mahu buat untuk mereka di lain kali pula. Tuan PSQ yang kebetulan berkesempatan melebarkan sayapnya ke kota fustat atas urusan lain juga sebenarnya. Andai diteliti jadualnya yang penuh dan padat minggu lepas, naik pening kepala PSQ bila dipaksa dengar dan disuruh memahami setiap syarahanya yang panjang lebar itu. Bila orang bahasa didodoi bahasa PSQ yang terlena.
Seperkara lagi yang PSQ sangat-sangat geram adalah kek aiskrim yang tuan pegang itu. "Sepotong Kek Senyuman" yang meruntun hati yang melihat. Melebar senyuman Adik Hana tika menyuapkan kek ke mulutnya. Adik Atie pun tak sabar memotong kek yang menyelerakan itu. Amat lazat kelihatan kek-kek perisa vanilla separuh dan perisa coklat campuran vanilla separuh. Tuan memang suka aiskrim. Pernah sekali tuan dibelanja teman sekuliahnya, setelah agak lama tidak menjamah akibatnya serak-serak suara tuan tika itu, hingga bicara pun tak kedengaran jelasnya. Tuan ada juga bercerita suasana di sana yang boleh PSQ simpulkan dalam nada ceria dan gembira semuanya. Keletah anak-anak Ayahanda Hanif dan Bonda Roha juga gamatkan syaqah empat. Along, Angah, Syika, Danial dan Waiz yang tak menang tangan acik-acik melayan kamu. Juga tetamu jemputan khas dari negeri Cik Siti Wan Kembang, kak Mazni selaku mantan LPP Hewi Pmram yang lalu. Seronok orang pantai timur menjamah juadah orang selatan. Biar gambar yang berkata-kata pada kenangan atas ucapan penghargaan dan ukhwah fillah kalian.

Sunday, April 12, 2009

Bermula pengembaraan ini

Nama patik Puteri sakura qalbie, umur baru 5 tahun ikut umur kucing dewasa, warna bulu patik kemerah-merahan macam warna hati sebab tu tuan bagi nama Qalbie ala-ala arab kata tuan, boleh panggil patik Puteri SQ sahaja, tuan patik yang bagi nama itu sebab dia sangat suka bunga sakura yang asal dari Negara matahari terbit tu. Patik pun tak tahu kenapa tuan tu suka sangat, kalau nak dibandingkan kecantikannya pada hemat patik, cantik lagi bunga raya yang banyak tumbuh kat sekeliling kota Istana Raja Farouk di Montazah tu. Asal patik dari Acheh dan berlayar hingga ke bumi seribu menara ini dengan pelbagai cara. Kalau diperikan perjalanan patik pacal yang hina ini akan jadi kisah yang lain pula nantinya. Patik hadir sekadar memperikan hal ehwal puteri-puteri kota pantai yang banyak ragamnya. Tuan patik tu yang suruh patik menaip. Dia kepenatan dengan jadual kelas dan tuisyen yang penuh sepanjang minggu lepas makanya patik dipaksa mencakar-cakar papan kekuncinya. Nasib baik tak calar sebab papan kekunci tu lebih keras dari kuku patik. Lalu terhasillah tulisan patik yang tak seberapa ini. Patik suka tinggal di kota pantai ni sebab puteri-puteri kerajaan "Ratu Balqis" ni peramah orangnya, tiap kali bersua pasti disapa. Oh... tuan patik pernah khabarkan yang mereka semua ini suka amalkan 3S kalau bertemu atau berjumpa sesama mereka di mana-mana pun. Iaitu Senyum, Sapa dan Salam. Teringat pula patik pada sebuah hadis Nabi Muhammmad yang pernah tuan patik baca sebelum ini, bunyinya begini :
"Sebar-sebarkan salam kepada orang yang kalian kenal dan tak kenal dikalangan orang mukmin"
Patutlah berseri-seri kota pantai ini sewaktu patik menjejakkan kaki patik ke sini. Ini Cuma versi pengenalan dari patik Puteri SQ, di lain waktu dengarlah dongengan patik yang tak seberapa ini. Disebabkan adik-adik tuan patik tu ramai dan mereka semua tu suka sangat dengar patik bercerita makanya tuan pun membenarkan patik meneroka blog tuan ini saat tuan sibuk berprogram. Lain masa dan ketika kita jumpa. Senyum selalu.